INFO AKTIVITI B&K TAHUN 2021
Thursday, 27 September 2012
Bangau Oh Bangau
Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.
Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul?
Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput,
Kenapa engkau panjang sangat?
Macamana aku tak panjang,
Kerbau tak makan aku.
Katak oh katak,
Kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil,
Ular nak makan aku.
Ular oh ular,
Mengapa nak makan katak?
Macamana aku tak makan.
Memang makanan aku.
Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.
Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.
Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.
Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.
Jika ditanyakan kepada sianak, “Henapa awak jadi begini?” Dia pun menjawab, ”Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!” Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, “ Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.”
Begitulah seterusnya.
Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.
Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya apabila ia berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk mengubah diri kita.
Orang yang proaktif ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain. Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.
Dalam kes masalah sosial remaja setiap pihak hendaklah bersikap proaktif. Budaya ‘bangau oh bangau’ hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:
“Apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah! Maka jawab mereka: Tetapi kami mengikt apa-apa yang kami perolehi dari bapa-bapa kami. Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada memikirkan suatu apapun dan tiada pula mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah: 170)
Sekalipun, ibu-bapa tidak memainkan peranan yang betul, maka dengan fikiran dan ilmu yang didapati dari sekolah dan masyarakat para remaja sudah sewajarnya mampu menilai dirinya sendiri. Mereka adalah ‘pemandu’ pada kereta kehidupan mereka. Jika berlanggar jangan salahkan ibu-bapa, tapi salahkan diri sendiri. Dan tindakan selanjutnya ialah belajar lebih gigih agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Manakala bagi pihak ibu-bapa pula, janganlah terus menyalahkan guru atau masyarakat. Sebagai individu yang terapat dengan para remaja, tentulah pengaruh mereka lebih besar daripada mana-mana pihak dalam membentuk keperibadian anak-anak. Anak kita adalah hak kita dan Allah telah menetapkan bahawa kita adalah pencorak utama kepada akhlak mereka. Lupakah ibu-bapa kepada firman Allah ini: “Anak-anak dilahirkan suci bersih, kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.”
Jadi ibu-bapa yang baik tidak akan menyalahkan guru, masyarakat dan kerajaan atas kerosakan anak mereka. Sebaliknya, mereka akan memperbaiki diri dan mula mendidik anak mereka dengan terlebih dahulu mendidik diri sendiri!
Begitulah juga masyarakat, pihak sekolah, para pemimpin – masing-masing hendaklah melihat dan bercermin pada hati nurani masing-masing. Apa akan jadi jika pemimpin menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlah, kita bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah sendiri mengiktiraf hak dan pilihan
individu, maka atas dasar itu masing-masing akan ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita terpedaya akan tipu-dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita… Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda: “Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment